Estrogen adalah hormon penting untuk kesihatan wanita. Secara semulajadi, tahap hormon estrogen mula menurun secara beransur-ansur dan menyebabkan gejala yang berkaitan selepas wanita mencapai usia 40 tahun ke atas. Laporan kes ini menggambarkan kekurangan estrogen yang progresif pada seorang wanita muda semenjak usia 19 tahun. Beliau mengalami hipomenorea selama setahun diikuti dengan amenorea dan dikendalikan secara konservatif termasuk diberi cabaran progestogen selama satu tahun. Beliau bertindak balas terhadap rawatan itu pada kali pertama, tetapi mengalami amenorea selepas itu. Beliau dirujuk ke pusat rawatan kami pada usia 22 tahun untuk penilaian lanjut berkaitan masalah kesuburan akibat kekurangan ovari pramatang. Pemeriksaan klinikal menunjukkan seorang wanita muda kurus dengan payudara dan bulu di bahagian ketiak dan kemaluan pada klasifikasi Tanner tahap 3. Ujian darah kali pertama dan ulangan menunjukkan tahap estrogen yang rendah dengan paras gonadotrofin yang berterusan tinggi yang mana menunjukkan keadaan kekurangan ovari primer. Ultrasound pelvis dan urogenital menunjukkan rahim yang kecil dengan lapisan endometrium yang nipis tetapi saiz ovari normal. Beliau didiagnosis dengan Sindrom Turner mozek 45X/46XX berdasarkan ujian kariotip darah. Kekurangan ciri khas Sindrom Turner dalam kes ini telah menyebabkan kelewatan pada penyiasatan dan pengurusan kes. Laporan kes ini bertujuan untuk menekankan pentingnya penilaian menyeluruh pada wanita muda yang mengalami keadaan kekurangan estrogen kronik. Ini akan membolehkan diagnosa dan rawatan awal pada keadaan yang jarang berlaku seperti Sindrom Turner mozek, dan seterusnya dapat mencegah komplikasi.
Comments (0)